JAKARTA: Puluhan warga Indonesia yang pernah dipenjarakan atas kesalahan rasuah dijangka bertanding, menurut suruhanjaya pilihan raya negara itu, hari ini, ketika negara majoriti Muslim terbesar dunia itu mula berkempen, hujung minggu ini.
Semua bekas pesalah itu adalah antara lebih 8,000 calon yang bertanding kerusi parlimen dan majlis wilayah. Indonesia mempunyai 186 juta pengundi layak yang akan membuang undi pada pilihan raya umum, 17 April depan.
Seluruh peringkat masyarakat Indonesia dibelenggu rasuah dan Dewan Perwakilannya dilihat sebagai badan yang paling terjejas rasuah.
Bagaimanapun, minggu lalu, Mahkamah Agung membuat keputusan bahawa 38 orang yang pernah disabitkan atas kesalahan rasuah boleh bertanding walaupun mempunyai rekod jenayah.
Keputusan itu dilakukan, selepas suruhanjaya pilihan raya Indonesia cuba menghalang kelayakan mereka.
“Kami menentangnya, namun memandangkan Mahkamah Agung memberi kebenaran, tidak ada apa yang kami boleh lakukan,” kata ketua Suruhanjaya Pilihan raya Umum, Arief Budiman. - AFP
Comments